UMS – MET Malaysia perkasa hubungan kerjasama

KOTA KINABALU : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan rasmi ke Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Cawangan Sabah bagi memperkasa hubungan kerjasama kedua-dua pihak.

Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, lawatan ini memberi peluang kepada NDRC untuk melihat proses pemantauan serta operasi sistem gempa bumi dan amaran tsunami (SEISCOMP5) yang terdapat di agensi itu.

“NDRC UMS mengadakan lawatan rasmi ke MET Sabah dan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah (POCGS) bersama-sama pelajar latihan industi serta bersama penyelidik NDRC.

“Lawatan ini dilihat dapat memberi pendedahan kepada pelajar dan penyelidik kami mengenai bidang sains atmosfera, klimatologi dan penyelidikan berkaitan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, banjir, ribut taufan serta kemarau,” katanya di sini semalam.

Carolyn berkata, rombongan mengetahui lanjut mengenai peranan serta fungsi MET Malaysia selain kemudahan pencerapan data meteorologi dan pemantauan cuaca yang lain.

“Ini termasuk Terminal Doppler Radar (TDR), Automated Weather Station(AWS), MMD Radar Network dan Wind and Runway Visual Range yang terdapat di jabatan ini.

“Perisian SEISCOMP3 merupakan sistem pemantauan gempa bumi yang ditempatkan di Makmal NDRC UMS. Sistem ini dapat digunakan oleh para pelajar dan penyelidik di NDRC UMS untuk membuat pemantauan dengan lebih berkesan.,” jelas Carolyn.