KOTA KINABALU: Sabah mahu lebih ramai anak muda menyertai industri minyak dan gas sejajar usaha kerajaan untuk mengembangkan industri itu di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata TAS perlu memainkan peranan untuk terus melahirkan tenaga kerja teknikal yang terlatih dan cekap untuk bekerja dalam industri itu khususnya di Sabah.
“Pada tahun lalu, Sabah mencatatkan satu kejayaan bersejarah dengan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri kita yang dikenali sebagai, SMJ Sdn Bhd, hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS.
“Kami amat menghargai kerjasama PETRONAS melalui CCA, menandakan langkah pertama dalam memastikan rakyat Sabah akan menikmati hasil daripada sumbernya. Ini bermakna penglibatan yang lebih besar bagi Sabah dalam perniagaan petroleum huluan, serta dalam perniagaan minyak dan gas secara pertengahan dan hiliran serta bersama PETRONAS meningkatkan penyertaan negeri Sabah dalam industri minyak dan gas serta nilai rantaiannya.
“Saya berkongsi keinginan untuk melihat sumber minyak, gas dan tenaga Sabah memberi manfaat kepada pembangunan negeri ini. Bersama rakyat, Sabah telah memperjuangkan penyelesaian yang saksama untuk mendapat manfaat daripada sumber minyak dan gas,” katanya.
“Saya berharap TAS akan terus melahirkan tenaga kerja teknikal yang terlatih dan cekap untuk bekerja dalam industri minyak dan gas.
”ini khususnya di negeri ini. Tumpuan mereka dalam membina dan membangunkan modal insan tempatan wajar dipuji dan harus dicontohi oleh institusi latihan lain,” katanya.