Maxim, UiTM santuni penghuni The Hope Village

KOTA KINABALU: Maxim Malaysia menerusi cawangannya di Kota Kinabalu menjayakan Program Ziarah Kasih Bankers x MPP bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di The Hope Village, Tuaran.

Program itu melibatkan 39 wakil pelajar UiTM yang menyampaikan pelbagai sumbangan termasuk selimut hangat, makanan, minuman serta keperluan harian kepada penghuni pusat jagaan warga emas berkenaan.

Ketua Maxim Kota Kinabalu, Dennie Dimpat berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat di samping memupuk nilai kasih sayang dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi melaksanakan lebih banyak program kemasyarakatan pada masa akan datang.