KOTA KINABALU: Seorang lelaki mendakwa melalui pengalaman yang tidak disangka apabila menyangka keretanya hilang sebelum mengetahui ia sebenarnya ditunda oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), dalam kejadian di Karamunsing, di sini.
Perkongsian individu yang menggunakan nama KK Viral di TikTok itu menjadi tular selepas beliau memuat naik video menceritakan pengalaman berkenaan.
Dalam video itu, beliau mendakwa meletakkan kereta di kawasan Karamunsing sebelum keluar menyelesaikan urusan. Namun apabila kembali, kenderaan miliknya sudah tiada.
Beliau berkata, pada mulanya bercadang membuat laporan polis kerana menyangka kereta dicuri.
“Saya baru saja pergi Karamunsing, kemudian balik tengok kereta sudah tiada. Saya ingat mahu pergi balai polis buat laporan, tetapi terfikir mungkin DBKK sudah tunda,” katanya.
Menurutnya, beliau kemudian berjalan kaki dari Karamunsing ke depoh DBKK sambil membawa sebuah unit pemproses komputer (CPU) sebelum mendapati keretanya memang ditunda.
Beliau mendakwa caj tuntutan sebanyak RM350 membebankan kerana wang berkenaan diperuntukkan untuk keperluan keluarganya.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya DBKK mempertimbangkan kaedah lain terhadap kesalahan parkir seperti menggunakan alat pengunci tayar bagi kes tertentu berbanding terus menunda kenderaan.
Katanya, pendekatan sedemikian boleh mengurangkan kesulitan kepada pemilik kenderaan yang masih mempunyai barangan penting di dalam kereta.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial dengan ada yang bersimpati terhadap pengalaman dikongsikan, manakala sebahagian lagi berpandangan tindakan penguatkuasaan perlu diterima sekiranya berlaku pelanggaran peraturan parkir.
Setakat berita ini ditulis, DBKK belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung video tular berkenaan.
