Polis buru ‘Musa’ ahli kumpulan geng leleh kes pecah rumah waktu siang

KOTA KINABALU: Polis kini buru seorang lagi ahli kumpulan Geng Leleh selepas dipercayai terlibat dalam 12 kes pecah rumah pada waktu siang membabitkan kerugian bernilai mencecah RM336,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, polis sedang mendapatkan gambar terkini suspek dipercayai warga asing berikutan tiga rakannya berjaya diberkas dalam beberapa siri penangkapan bermula 6 hingga 8 November lalu di sekitar ibu negeri.

Katanya, beberapa barangan kemas, surat pajak gadai, jam tangan berjenama, komputer riba dan wang tunai RM40,000 serta peti besi dipercayai menyimpan wang tunai pelbagai mata wang dirampas.

“Sebuah kenderaan dipercayai disewa serta motosikal untuk menjalankan kegiatan pecah rumah dirampas, modus operandi suspek iaitu melupuskan barangan yang dicuri dengan cara menjual dan menggadainya di kedai barangan kemas, pengurup wang serta orang awam di sekitar kawasan Segama dan Kampung Air.

“Setakat ini, polis menahan sembilan individu termasuk empat lelaki dan lima wanita dipercayai kerap membeli barangan curi terutama barangan kemas.

“Pekerja kedai pajak gadai dan pengurup wang antara ditahan sdan seorang penyewa bersubahat menyimpan barangan curi di tempat tinggalnya serta menjadi orang tengah berperanan menjual barangan yang dicuri mereka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, penangkapan ketiga-tiga suspek ini polis pervaya dapat menyelesaikan 16 kes pecah rumah pada wakti siang iaitu membabitkan 12 kes di ibu negeri termasuk lapan di Luyang, dua Tanjung Aru dan satu kes di sini manakala kes lain turut direkodkan di Penampang, Beaufort serta Papar.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak September lalu, manakala modus operandi mereka berlegar-legar di sekitar kawasan perumahan mewah serta kawasan yang berpotensi untuk dipecah masuk.

“Suspek akan menekan lonceng rumah serta memberi salam bagi mengenalpasti sama ada rumah terbabit berpenghuni atau sebaliknya, sekiranya tiada jawapan, suspek akan memecah masuk dan melarikan barangan berharga,” jelas Mohd Zaidi.