UMS sahkan salah satu tangki air tercemar di Kolej Kediaman, kerja penyelengaraan telah dilakukan

KOTA KINABALU: Pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil maklum akan sebuah klip video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini berkaitan pencemaran tangki air di salah satu kolej kediaman pelajar di kampus UMS di sini.

UMS menerusi satu kenyataan dari Pusat Komunikasi Korporat, hari ini menyatakan, susulan daripada klip video tersebut, pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) telah menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut.

UMS sahkan salah satu tangki air tercemar di Kolej Kediaman, kerja penyelengaraan telah dilakukan. Gambar UMS.

Pihak JPP mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS.

Walau bagaimanapun, tangki yang terjejas adalah tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub (tubewell), dan tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menjadi sumber utama kegunaan harian para pelajar.

Ekoran daripada kejadian tersebut, JPP telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang terlibat.

Pihak JPP juga telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga pelajar UMS.

Pihak pengurusan UMS akan terus memantau perkembangan pelajar di KKTPAR bagi memastikan kesihatan para pelajar tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran dan kehidupan seharian pelajar sepanjang berada di kolej kediaman.