KOTA KINABALU: Kebanyakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah dalam situasi lemah disebabkan ia tidak diurus dengan baik, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Katanya, Kerajaan Negeri tidak mengutamakan kepentingan GLC terbabit terutama dalam soal pelantikan lembaga pengarah dan ia lebih berdasarkan kouta dan bukan keutamaan mengikut merit.
Malah menurut beliau terdapat beberapa GLC turut memperalatkan GLC untuk melantik pegawai-pegawai dari kalangan keluarga dan kroni dengan membayar elaun dan gaji yang terlalu tinggi sehingga menjejaskan sumber kewangan GLC berkenaan.
“Ini menyebabkan pengurusan GLC terbabit tidak bermaya dan lemah dan tidak berdaya saing. Sebab itu kebanyakan GLC negeri telah mengalami kerugian daripada keuntungan dan perkara ini seharusnya dielakkan daripada menjejaskan GLC terbabit,” katanya sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun bahawa GLC Sabah lebih banyak kerugian daripada keuntungan.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, berkata sudah tiba masanya Kerajaan Negeri mengubah strategi bagi pelantikan ahli-ahli lembaga pengarah setiap GLC yang perlu mengikut tuntutan strategi perniagaan.
Menurutnya, pihaknya yakin bahawa pelantikan ahli lembaga yang mengikut merit dan latar belakang pengalaman sepatutnya diberi keutamaan bukan berdasarkan kouta parti politik yang memerintah.
“Kerajaan Negeri perlu melakukan perubahan bagi memastikan GLC lebih kompettif, diuruskan dengan baik berorentasikan keuntungan dan berkesan dalam perniagaan yang mereka terokai,” ujar Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.