GLC Sabah lebih banyak alami kerugian dari yang peroleh keuntungan

KOTA KINABALU: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah harus meningkatkan usaha ke arah menjadikan perniagaan mereka menguntungkan dan memberi dividen kepada kerajaan negeri.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, terdapat lebih banyak GLC di Sabah yang mengalami kerugian berbanding mereka yang memperoleh keuntungan.

“Adalah menjadi kewajipan semua GLC untuk menjana pendapatan untuk kerajaan atau mereka akan berdepan dengan pemberhentian,” katanya selepas melancarkan Yono Superapp oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, semalam

Masidi turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri bukanlah sebuah pertubuhan kebajikan yang boleh terus menyuntik dana kepada GLC apabila mereka kehabisan wang atau mengalami kerugian hanya dengan beroperasi.

Justeru itu, beliau meminta semua GLC dan pasukan pengurusan mereka untuk meningkatkan dan berusaha ke arah menjadikan usaha niaga mereka menguntungkan dan memberi dividen kepada kerajaan negeri.

“Apa yang boleh saya katakan, kita boleh menjimatkan banyak ketirisan jika semua GLC menunjukkan prestasi yang sepatutnya.

“Terdapat keperluan untuk menaik taraf pengurusan kewangan dan meningkatkan sentimen perniagaan mereka yang menguruskan syarikat.

“Selain keperluan untuk prinsip akauntabiliti dalam pengurusan GLC dan saya ingin mengingatkan semua GLC bahawa pertimbangan utama setiap GLC adalah bukan sahaja memastikan ia berjalan dengan baik tetapi ia menghasilkan wang,” tegas Masidi

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru mereka yang duduk dalam lembaga pengarah atau memegang jawatan pengurusan GLC supaya menunjukkan kebijaksanaan yang lebih tinggi dan mengubah cara berfikir mereka.

“Jika anda duduk di sana, anda perlu mengubah perspektif anda, dan jika anda seorang ahli politik, anda mesti bekerja dalam struktur tadbir urus korporat kerana dalam GLC, anda bukan lagi ahli politik.

“Setiap orang yang bekerja di GLC mesti bekerja keras untuk mendapatkan gaji mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Masidi turut menggesa GLC untuk mengelak daripada bersaing dengan GLC lain dan mengemukakan idea yang sudah sedia ada.

“Saya tidak mengatakan kita harus menghukum mereka yang gagal, cuma yang saya katakan, mereka yang gagal harus mencuba. Jika tidak, kita perlu mengambil tindakan. Cukuplah,” kata Masidi.