Sesi libat urus bersama ADUN bukan kerajaan noktahkan miskin tegar di Sabah – Rosmadi

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri komited merealisasikan agenda untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk (Datu) Rosmadi Sulai berkata, beliau memerlukan bantuan serta kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengenal pasti senarai rakyat termiskin serta miskin tegar di kawasan masing-masing.

Katanya, langkah ini penting bagi memastikan untuk mendapatkan input dan cadangan daripada semua pihak.

“Ini termasuk daripada ADUN bukan parti kerajaan dari segi menambah senarai nama Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang tercicir dari Sistem e-Kasih di kawasan DUN masing-masing.

“Selepas itu nanti senarai itu akan dimasukkan ke dalam Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS),” katanya di sini hari ini.

Rosmadi berkata, matlamat sesi libat urus sangat penting ibagi mencerminkan keterbukaan serta komitmen pimpinan kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di Sabah.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan bahawa usaha dalam menoktahkan kemiskinan tegar tidak seharusnya dibatasi oleh agama, bangsa atau fahaman politik.

“Sempena sesi libat urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah setiap ADUN serta wakil mereka turut didedahkan pendekatan Sistem PADAS dan tatacara permohonan pendaftaran sistem itu bagi intervensi bantuan kelak,” jelas Rosmadi.

Sesi Libat Urus hari ini Siri 01 bersama ADUN daripada parti bukan Kerajaan ADUN Tungku, Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian kawasan Tungku serta ADUN Bongawan Dr.Daud Yusof.

Tiga orang wakil ADUN daripada kawasan DUN Sungai Manila, Sukau dan Darau.