Bapa tiri warga asing rogol anak ditahan polis

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki terlibat dalam kes rogol anak tirinya berumur 15 tahun di kawasan perkampungan, di Kalabakan, Tawau, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, perbuatan suspek itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara itu kepada ibu saudaranya sebelum tampil membuat laporan Polis.

Katanya, mangsa sebelum itu mengadu sakit perut kemudiannya di hantar ibu saudaranya mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, pagi Selasa lalu.

“Mangsa menceritakan perbuatan terkutuk itu kepada ibu saudaranya selepas pihak Hospital memaklumkan tahap kesihatan mangsa kepadanya.

“Berdasarkan siasatan awal, perbuatan tersebut berlaku sejak mangsa berusia 11 tahun sehingga terkini berlaku pada bulan lalu di rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, polis berjaya memberkas suspek berusia 35 tahun pada jam 12.30 tengahari di sekitar kawasan Kampung Murut, Kalabakan dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

“Jika sabit kesalahan, suspek akan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” jelas Jasmin.

Menurutnya, beliau menyeru orang ramai agar memainkan peranan melaporkan sekiranya ada sebarang tanda-tanda penderaan seksual bagi melindungi golongan terutama kanak-kanak dan remaja, daripada menjadi mangsa keganasan seksual.