KOTA MARUDU : Sebanyak 364 sekolah, gereja dan tokong di lima daerah dalam Zon Pantai Barat Utara menerima bantuan kewangan untuk sekolah dan badan keagamaan bukan Islam bernilai RM6.82 juta pada majlis diadakan di Dewan SJKC Khoi Ming, di sini kelmarin.
Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata, ia melibatkan 45 sekolah, membabitkan nilai keseluruhan bantuan sebanyak RM2.29 juta, 310 buah gereja (RM4.11 juta) dan sembilan buah tokong (RM425,000).
Katanya, lima daerah dalam Zon Pantai Barat Utara ialah Kudat, Banggi, Matunggong, Kota Marudu dan Pitas.
“Kerajaan Negeri prihatin, juga mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.
“Semoga sumbangan dan bantuan kewangan ini sedikit sebanyak memberi keselesaan dan manfaat serta dapat memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Julita merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, beliau menyifatkan bantuan kewangan ini sebagai pelengkap untuk meringankan beban pihak sekolah dan badan-badan keagamaan.
“Dalam sama memastikan kemudahan sekolah serta rumah ibadat berkenaan sentiasa berada dalam keadaan yang kondusif, selamat dan selesa digunakan.
“Kita memaklumkan peruntukan bantuan kewangan untuk tahun depan bertambah seperti diumumkan pada sesi pembentangan Belanjawan Negeri 2025 pada 15 November lalu,” jelas
Julita.
Menurutnya, beliau turut menyeru sektor swasta dan dewan perniagaan atau persatuan perdagangan untuk turut serta bersama mendukung institusi sekolah dan badan-badan keagamaan di negeri ini.