Dua syarikat dilantik atasi isu ‘Ulat Tiket’ di Taman Tunku Abdul Rahman – Christina

KOTA KINABALU : Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) meluluskan dua syarikat bagi mengatasi kegiatan  ‘Ulat Tiket’ di Taman Tunku Abdul Rahman.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya mewujudkan perkhidmatan Kaunter Berpusat untuk menerima serta mendaftar syarikat pengendali sukan air di kawasan berkenaan.

Katanya, sebelum ini timbul kegiatan ‘ulat tiket’ di kawasan pulau tersebut sekali gus perlu dibendung segera agar tidak menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini.

“Kaunter berpusat bertungsi memastikan setiap syarikat pengendali sukan air berdaftar perlu mempunyai ‘Landing Permit’ yang sah dikeluarkan TTS.

“Selain itu, mereka berfungsi sebagai menyedia dan menjual tiket-tiket aktiviti sukan air kepada pelancong, memberi taklimat keselamatan serta menyelaras sistem penggiliran bot syarikat di Jeti TTS,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Christina berkata, pihak pengurusan TTS mengeluarkan notis pemberitahuan pelaksanaan kaunter berpusat pada 1 Mei 2024 sebagai makluman awal kepada syarikat pengendali sukan air.

“Ia membolehkan pendaftaran dapat dilakukan oleh syarikat pengendali sukan air sekali gus dapat mematuhi garis panduan dan berfungsi menyelaras aktiviti sukan di air di pulau terbabit.

“Pelaksanaan kaunter akan dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat agar ia memudahkan semua  pelancong agar tidak menimbulkan kerumitan dalam kalangan mereka,” jelas Christina.

Menurutnya, dengan adanya pelaksanaan kaunter ini diharapkan dapat memastikan semua bot pengendali sukan air mempunyai landing permit yang sah.

“Kita juga mahu masalah ulat tiket pakej-pakej aktiviti ‘water sport’ juga dapat dibanteras agar pelancong lebih selesa melakukan aktiviti riadah serta menjamin keselamatan mereka,” katanya