UMNO kekal releven berada 31 tahun di Sabah – Bung Moktar

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menempuh pelbagai ujian serta rintangan sepanjang berada selama 31 tahun bertapak di negeri ini.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata UMNO Sabah berpegang kepada formula membela nasib rakyat secara keseluruhan bukan berjuang untuk ahli parti semata-mata.

Katanya sejak melebarkan sayap ke Sabah, UMNO melalui pelbagai rintangan sehingga mengalami kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) sehingga ada pihak meninggalkan parti itu di negeri ini.

“Pelbagai ujian melanda UMNO Sabah…Ada suatu ketika apabila beberapa pemimpin UMNO termasuk pemimpin bahagian meletakkan jawatan untuk menyertai parti lain menyebabkan ahli berada dalam kebimbangan.

“Kita lalui ujian itu secara positif…Apabila mereka meninggalkan UMNO, kita masih memiliki pemimpin serta ahli yang sangat berprinsip sekali gus setia kepada perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan 31 tahun UMNO berada di Sabah pada 21 Feb esok, di sini hari ini.

Bung Moktar berkata ujian ini menjadikan UMNO Sabah lebih kukuh sekali gus sehingga kini tidak ada satu bahagian dibubarkan di negeri ini.

“UMNO mampu bertahan kerana parti sangat mementingkan membantu rakyat disamping memiliki ahli yang bersemangat memastikan UMNO terus bertaoak di Sabah,” katanya.