Mayat remaja lelaki lemas di pantai Batu Sapi ditemui

SANDAKAN : Mayat seorang remaja lelaki yang lemas ketika mandi di pantai berhampiran Kilang Sinora, Batu Sapi dekat sini telah ditemui pagi tadi.

Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan, PBK II Alan Ayuh berkata mayat Mohd Amiruddin Juhardin, 16, ditemui oleh orang awam pada pukul 8 pagi tadi lebih kurang 30 meter dari pesisir pantai berhampiran jeti iaitu lokasi terakhir mangsa dilihat.

Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut berada di lokasi kejadian.

Menurutnya mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, JBPM Zon Sandakan telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.40 petang semalam.

Pasukan JBPM Zon Sandakan dibantu beberapa agensi lain termasuk PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Berdasarkan laporan, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang melakukan aktiviti mandi-manda bersama tiga lagi rakannya yang lain di Laut pantai berkenaan.

Bagaimanapun, ketika berenang mangsa telah menjerit meminta tolong dan rakannya yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya.