PAPAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempergiat usaha penguatkuasaan terhadap kenderaan diesel yang mengeluarkan asap hitam menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di daerah ini hari ini.
Operasi tersebut melibatkan kerjasama JAS Kota Kinabalu, Cawangan Sipitang/Beaufort dan Bahagian Siasatan serta Penguatkuasaan Trafik IPD Papar.
Menurut JAS, pemeriksaan memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan selain kenderaan persendirian yang telah diubah suai.
Ujian pelepasan asap dijalankan bagi memastikan setiap kenderaan mematuhi piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan berkaitan.
JAS memaklumkan operasi bersepadu akan diteruskan secara berkala dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran udara akibat pelepasan asap hitam dapat dikawal.
