Jerry gesa siasatan terhadap dakwaan tidak berasas

KOTA KINABALU: Bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said menggesa pihak berkuasa menyiasat sekiranya terdapat unsur laporan palsu atau dakwaan tidak berasas susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes membabitkan Tan Sri Azam Baki sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Beliau berkata, keputusan itu membuktikan bahawa setiap dakwaan perlu disokong dengan fakta dan bukti yang kukuh sebelum tindakan undang-undang boleh diambil.

“Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana pihak sengaja mengemukakan maklumat palsu, mengelirukan atau berniat jahat kepada pihak berkuasa, tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.

Menurut beliau, tindakan terhadap pihak yang sengaja membuat tuduhan tidak berasas penting bagi memastikan integriti institusi penguat kuasa dan sistem keadilan negara terus terpelihara.

Tambahnya, rakyat perlu diyakinkan bahawa undang-undang dilaksanakan secara adil tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak.