KOTA KINABALU: Buat pertama kalinya, Kumpulan Armada Band akan mengadakan konsert Janji Bahagia di Kota Kinabalu pada 4 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC).
Konsert kumpulan Indonesia yang terkenal dengan lagu Asal Kau Bahagia dibawakan oleh JeeHarris Corporation.
Armada Band dianggotai vokalis, Rizal Adi, Meri Yandi (dram) dan Andika Maihendra (gitar).
Pada sidang video dengan media Sabah di sini, hari ini, kumpulan itu menyatakan sudah lama menanti untuk mengadakan konsert di Sabah selepas perancangan awal tertangguh akibat Covid-19.
Rizal berkata kumpulan itu memang berhasrat mengadakan konsert di Sabah kerana tahu akan ramai peminat kumpulan itu dan ada antara peminat yang bertanya di tiktok atau YouTube Armada untuk mereka mengadakan konsert di Sabah.
“Konsert Armada-Janji Bahagia di Kota Kinabalu ini hadiah kepada peminat kami di Sabah yang sudah lama menantikan kehadiran Armada.
“Kami juga teruja untuk bertemu dan mempersembahkan lagu-lagu kami kepada peminat di Sabah,” katanya.
Andika pula menambah sudah tentu kumpulan itu akan mempersiapkan konsep persembahan yang khas untuk peminat di Sabah.
“Pertama kali datang membuat persembahan di Sabah sudah tentu kami akan memberikan persembahan yang terbaik dengan lagu-lagu yang diminati peminat di Sabah,” tambahnya.
Dalam pada itu, penganjur konsert, Harris Baba, berkata pemilihan Armada Band bagi penganjuran konsert pertama kendalian syarikatnya itu kerana kumpulan berkenaan memiliki jumlah ramai peminat di Sabah.
Katanya penjualan tiket itu dilakukan menerusi online iaitu myticket, manakala penjualan secara fizikal terdapat di cawangan-cawangan Bundle Mania di negeri ini.
Katanya lokasi SICC dipilih kerana mempunyai dewan yang luas mampu menampung kapasiti yang ramai.
“Sebagai kumpulan Indonesia pertama kami bawa ke Sabah sudah tentu mengharapkan sambutan menggalakkan daripada peminat Armada di Sabah.
“Selepas ini kami merancang membawa lagi penyanyi dan kumpulan terkenal ke Sabah termasuk kumpulan Ungu dari Indonesia,” kata Harris.

