TAWAU : Seprang remaja lelaki disyaki ‘Runner Minyak’ ditahan bersama bot penumpang ketika cuba menyeludup muatan bahan api secara haram di sekitar perairan Pulau Sebatik di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, suspek berumur 21 tahun itu ditahan bersama enam gelen bahan api jenis petrol manakala diesel 160 liter dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.
Katanya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.15 tengahari semalam ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan mengesan bot penumpang dalam keadaan mencurigakan.
“Bot terbabit dapati bergerak laju dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik namun berjaya ditahan oleh anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.
“Kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot bersama muatan barangan disita dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shahrizan berkata, modus operandi digunakan suspek iaitu membawa bahan api tersebut dalam kuantiti kecil secara berulang alik.
“Kita perlu membenteras sindiket penyeludupan membawa barang-barang kawalan tersebut ke negara jiran.
“Suspek bersama barangan rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen JPDS 2002,” jelas Sharizan.
Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras sebarang aktiviti melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan khususnya di perairan Tawau.