KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri itu sehingga mendapat jaminan tiada penghakisan terhadap hak autonomi imigresen Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS dan mendapati terdapat elemen yang boleh menjejaskan kuasa serta hak istimewa imigresen Sabah.
Menurut beliau, pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah di pintu masuk negeri, sedangkan Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung terhadap agensi tersebut.
“Kerajaan negeri turut mengesan percanggahan antara Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh menjejaskan kelancaran tugas penguatkuasaan di pintu masuk Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji menegaskan autonomi imigresen Sabah dan Sarawak merupakan hak yang tidak boleh dirunding kerana ia termaktub dalam pelaksanaan Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Katanya, kerajaan negeri akan memastikan kedudukan perlembagaan Sabah serta kuasa autonomi imigresen negeri terus dipelihara.
