22 burung murai batu tanpa permit dirampas di Penampang

 

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 22 burung disyaki spesies murai batu yang disimpan tanpa permit sah dalam operasi bersepadu di Penampang semalam.

Operasi Khazanah yang dijalankan bersama Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman itu dilakukan hasil risikan di sebuah premis perniagaan.

Menurut kenyataan Jabatan Hidupan Liar Sabah, pemeriksaan menemukan burung terbabit disimpan dalam pelbagai jenis dan saiz sangkar tanpa lesen atau permit sah daripada jabatan berkenaan.

Turut dirampas dua sangkar bersama peralatan berkaitan.

Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran sah.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Jabatan Hidupan Liar Sabah berkata, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyimpanan dan perdagangan hidupan liar tanpa permit.