Pensyarah UMS dinobat Tokoh Jururawat Pendidikan 2026

PUTRAJAYA: Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Datin Dr Norkiah Arsat dinobatkan sebagai Tokoh Jururawat Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2026.

Anugerah tersebut disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib sempena Sambutan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Pengiktirafan itu menjadi kebanggaan buat UMS dan Sabah hasil sumbangan besar Dr Norkiah dalam bidang pendidikan kejururawatan negara.

Beliau memiliki pengalaman lebih tiga dekad dalam profesion kejururawatan termasuk perkhidmatan klinikal, kebidanan, kesihatan awam, pendidikan serta psikologi kaunseling.

Selain bergiat aktif dalam bidang akademik di UMS, beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan organisasi profesional kejururawatan di Sabah.