Tengku Hassanal berjaya tawan puncak Gunung Kinabalu

KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama rombongan berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada jam 8.45 pagi tadi.

Penolong Pengurus Taman Unit Penyelamatan dan Krisis Taman-Taman Sabah, Julaimin Kamin berkata, baginda memulakan pendakian dari Panalaban pada jam 3.07 pagi sebelum tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat pada jam 5.05 pagi.

Menurut beliau, keadaan cuaca semasa pendakian sangat baik dengan suhu sekitar 9 darjah Celsius dan perjalanan berlangsung dalam keadaan selamat serta lancar.

“Tengku Hassanal bersama rombongan berada hampir sejam di puncak sebelum turun semula ke Panalaban pada jam 9.30 pagi,” katanya kepada Bernama.

Ekspedisi Mahkota Borneo selama tiga hari yang diketuai Tengku Hassanal itu berakhir hari ini.