LABUAN: Seramai 600 pelajar menerima bantuan peralatan sekolah dan wang tunai sumbangan Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Pelajaran MARA sempena Program Back To School dan Penyampaian Bantuan Khas Persekolahan 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini.
Program yang diadakan di Desa Tunas Hijau, Sungai Miri dianjurkan oleh Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Pelajaran MARA dengan kerjsama UMNO Bahagian Labuan.
Majlis penyampaian bantuan berupa perlatan sekolah dan wang tunai itu disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Bank Rakyat Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Pengerusi Penasihat Giat Mara Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan.
Terdahulu, Nurul ketika ditemui media berkata, program Back To School merupakan program tahunan Yayasan Bank Rakyat yang antara lain bertujuan untuk membantu meringan bebanan ibu bapa terutama mereka yang berada dalam golongan B40.
Nurul berkata, Yayasan Bank Rakyat sangat komited untuk membantu dalam pembangunan pendidikan khususnya mereka yang berada dalam golongan B40.
“Sebenarnya banyak aspek yang kita sentuh..bukan saja dari bantuan wang tunai dan beg sekolah…tetapi juga dari sudut lain yang berkaitan dengan pendidikan untuk keperluan golongan B40 dan juga miskin bandar dan juga kawasan-kawasan pendalaman” katanya.
Sementara itu, Mohd Rafi yang juga Ketua Bahagian UMNO Labuan menyifatkan Program Back To School yang disumbangkan oleh Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Pelajaran MARA membuktikan keprihatinan badan bukan berkeuntungan dalam membantu golongan masyarakat yang kurang berkemampuan membuat persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah.
“Pastinya bantuan yang dihulurkan ini ldapat mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh keluarga dalam memastikan anak anak mereka juga tidak tersisih daripada arus pendidikan” kata Mohd Rafi.
