BEAUFORT : Pelajar di peringkat sekolah rendah atau tadika memainkan peranan penting dalam menerapkan penghayatan terhadap sambutan Hari Kemerdekaan di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, ini khususnya perasaan untuk menghargai perbezaan serta keunikan tersendiri setiap negeri di seluruh Malaysia.

Katanya, usaha untuk mendedahkan kepada mereka tentang erti kemerdekaan perlu ditekankan agar memahami mengenai sejarah antara tujuan sambutan Hari Kebangsaan diadakan setiap tahun.
“Pihak tadika juga berperanan untuk menyampaikan semangat sayangkan negara dengan pelbagai pendekatan dan kaedah bersesuaian dengan peringkat umur mereka.
“Program yang dilaksanakan untuk golongan ini dibuat secara santai memandangkan topik yang diajar itu agak berat dan serius,” katanya di sini semalam.
Awang Aslee berkata, pihak tadika perlu kreatif mengambil pendekatan boleh menarik perhatian kanak-kanak mempelbagaikan program bersesuaian termasuk sukan, kebudayaan, dan sebagainya.

“Semangat cintakan tanahair perlu disemai disemua lapisan masyarakat agar kesinambungan keamanan dan kemakmuran negara dirasai oleh anak cucu kita pada masa akan datang.
“Banyak yang terpaksa kita lalui untuk mencapai kemerdekaan dan mempertahankannya demi sebuah negara yang kita cintai,” jelas Awang Aslee.
Menurutnya, kemakmuran dikecapi negara ketika ini tidak ada lagi pemimpin atau sesiapa sahaja mengambil kesempatan atas kepercayaan rakyat meniupkan pelbagai sentimen untuk kepentingan sendiri.
