KOTA KINABALU : Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya jenis van terbabas sendiri lalu terbalik di Bandar Sierra Telipok, di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, mangsa dikenali sebagai Richard Linasin, 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, pihak Bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas selepas dipercayai tersepit di dalam kenderaan.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang tadi kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian bersama kekuatan seramai enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lintas diketuai Komander Operasi PBK II Wilfred Sulai.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Agustavia Joe berkata, selepas memastikan tiada bahaya lain wujud di kawasan kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 petang tadi.
