185 kontinjen menyertai perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah

KOTA KINABALU : Sebanyak 185 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens di sini hari ini.

Majlis dimulakan dengan ketibaan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni disambut Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta pengerusi penganjur, Menteri Kewangan Datuk Masidi Manjun.

Yang Dipertua Negeri kemudiannya memeriksa kawalan kehormat sekali gus menyaksikan upacara bacaan sumpah serta persembahan koir, diikuti dengan perarakan Jalur Gemilang dan bendera Sabah serta bendera semua negeri di Malaysia.

Orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat datang seawal untuk menyaksikan perarakan perbarisan mewakili pasukan keselamatan, jabatan dan agensi kerajaan, badan beruniform, persatuan dan sekolah di ibu negeri.