RANAU: Sebuah video memaparkan seorang pelajar yang kelihatan gayat ketika melalui titian buluh merentasi Sungai Mongkuloa di Nunuk Ragang, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan dan Parlimen Ranau, mengundang perhatian ramai di media sosial.
Perkongsian oleh pengguna TikTok, Annveronica, memaparkan laluan sempit itu yang didakwa menjadi laluan harian penduduk untuk berulang-alik.
Menurutnya, masih terdapat penduduk di pedalaman Sabah yang belum menikmati kemudahan infrastruktur asas yang selamat.
“Kita sudah menikmati pelbagai kemudahan, namun mereka masih belum menerima nasib seperti kita,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Video itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang berharap pihak berkaitan dapat meneliti keperluan membina jambatan konkrit bagi menggantikan titian buluh demi keselamatan penduduk.
