Pemandu Viva maut tersepit selepas bertembung Alza

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan UMS, Sepanggar berhadapan Alamesra, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.34 pagi itu, Perodua Viva yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah Perodua Alza sebelum kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas menyelamat (rescue tools) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Perodua Viva.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Perodua Alza berusia 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.55 pagi.