LABUAN : Masyarakat Tionghua di Kampung Sungai Keling Wilayah Persekutuan Labuan memerlukan pembelaan bantuan rumah daripada kerajaan di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi berkata, setakat ini masyarakat sangat memerlukan bantuan termasuk rumah serta beberapa keperluan lain daripada pihak kerajaan.
“Siapa kata masyarakat Tionghua di pulau ini hidup dalam serba kesenangan itu adalah tidak tepat… Realitinya ada juga sebahagian mereka hidup dalam serba kekurangan sekali gus memerlukan pembelaan daripada kerajaan,” katanya di sini semalam.
Mohd Rafi merupakan Ketua UMNO Bahagian Labuan memberikan komitmen untuk membantu beberapa penduduk kampung berkenaan termasuk mendapatkan rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Kampung Sungai Keling komited dan prihatin terhadap warganya….saya akan bantu menyuarakan permasalahan yang dikemukakan mereka untuk mendapatkan pembelaan daripada kerajaan,” katanya.