PENSIANGAN : Pemergian mendiang tokoh politik Tan Sri Joseph Kurup dilihat merupakan satu kehilangan besar berikutan beliau banyak berjasa kepada negeri dan negara ketika dalam perkhidmatannya selaku wakil rakyat di negeri ini.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Parti Warisan (WARISAN) Mudi Dubing berkata, pemergian mendiang Joseph Kurup begitu memberikan kesan yang mendalam khususnya kepada rakyat di kawasan Palimen Pensiangan.

Katanya, mendiang Joseph Kurup merupakan pengasas kepada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) semasa hayatnya dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat sekali gus begitu banyak membawa perubahan hidup kepada masyarakat di Pensiangan.
“Rakyat di kawasan ini sangat terhutang budi serta berterima kasih di atas segala khidmat bakti ditunjukkan mendiang dalam sejarah perkhidmatannya dengan membawa pelbagai pembangunan ekonomi disamping menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur yang diperlukan oleh rakyat yang diwakilinya.
“Pemergian mendiang Joseph Kurup merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada kita semua khususnya kepada rakyat di negeri Sabah. Segala pengorbanan, jasa dan sumbangan mendiang sangat dihargai, disanjung tinggi dan diingati selamanya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mudi merupakan Ketua Bahagian Warisan Pensiangan berkata, bagi pihak semua Ahli Jawatankuasa Bahagian serta Ahli Parti Warisan Parlimen Pensiangan merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup serta seisi keluarga atas pemergian mendiang ayahanda buat selama-lamanya.