KOTA KINABALU: Kejadian bot karam sehingga mengakibatkan seorang pelancong warga asing lemas di perairan Pulau Timba-Timba Semporna, disahkan berlaku di luar kawasan Taman-Taman Sabah (TTS).
Pengarahnya, Dr Maklarin Lakim berkata, bot terbabit dilaporkan terlanggar sesuatu objek di bawah air menyebabkan enjinnya tersangkut kemudian pecah di bahagian dinding belakang bot berkenaan.
Katanya akibatnya air masuk terlalu cepat menyebabkan terbabit bot karam sekali gus seorang pelancong lemas selepas terlambat keluar daripada bot terbabit.
“Mangsa berusaha cuba mengambil barang sehingga menyebabkannya terperangkap didalam kabin bot yang sedang karam dengan pantas.
“Bagaimanapun pelancong lain bersama krew bot berjaya diselamatkan. Ketika ini kejadian sedang dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Maklarin menasihatkan kepada pihak pengusaha pelancongan mengambil perhatian serius dalam perkara ini agar tidak berlaku di masa depan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan kejadian dipercayai berlaku pada jam 10.10 pagi membabitkan sembilan pelancong warga asing.
Salah seorang daripada mangsa iaitu lelaki warga asing berumur 38 tahun meninggal dunia dipercayai lemas manakala lapan yang lain berjaya diselamatkan, katanya.
Mohd Farhan berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.