Sabah mahu import sendiri beras untuk tampung keperluan rakyat– Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Sabah mahu mengurus sendiri import beras untuk menampung keperluan rakyat negeri ini berbanding dimonopoli Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) ketika ini.

Dalam satu kenyataan di sini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pendekatan yang lebih rapi perlu dilaksanakan berdasarkan landskap sosial dan keunikan geografi negeri ini.

“Sudah tiba masanya Sabah bebas daripada kekangan monopoli entiti tunggal yang sudah begitu lama mencorak pasaran tempatan kita.

“Saya percaya perubahan ini dapat merangsang persaingan dan membawa kepada bekalan beras yang lebih stabil dan mungkin harga yang lebih rendah kepada pengguna di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata cadangan itu berikutan kebimbangan orang ramai mengenai jangkaan peningkatan harga beras putih import hingga 36 peratus seperti diumumkan BERNAS.

Jelasnya, peningkatan harga itu bukan saja mengganggu kestabilan perbelanjaan isi rumah, malah boleh menjejaskan kebajikan keluarga berpendapatan rendah.

Pada masa sama, beliau menegaskan BERNAS mesti telus dalam mekanisme harga dan tahap bekalan beras yang dimiliki syarikat berkenaan.

“Orang ramai berhak untuk mengetahui bagaimana harga ditentukan dan apa pendekatan yang diambil BERNAS bagi menstabilkan pasaran,” katanya.

Jeffrey berkata, BERNAS juga patut mengeluarkan stok tambahan beras daripada simpanannya kerana ia bukan hanya aset perniagaan.

Sebaliknya, beliau berkata simpanan beras adalah sumber awam, khususnya ketika berlaku peningkatan permintaan atau ketidakstabilan pasaran seperti sekarang.

“Sudah tentu semua perniagaan mahu menjana untung tetapi BERNAS mengendalikan bahan keperluan asas, jadi keuntungan tidak boleh datang dengan mengorbankan keperluan asas rakyat,” tegasnya.

Menurutnya, data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menunjukkan import beras di Sabah mencapai 290,000 tan metrik, termasuk simpanan pada 2021, berbanding pengeluaran beras tempatan hanya berjumlah 22,000 tan metrik.

Jeffrey berkata, kementeriannya sedang berusaha untuk mengurangkan pergantungan negeri ini terhadap beras import menerusi pelbagai projek di bawah inisiatif pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan sasaran 60 peratus tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi dan beras pada 2030.

Langkah yang diambil, katanya termasuk mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah bagi membantu petani meningkatkan pengeluaran padi menerusi pembukaan semula sawah terbiar dan menaik taraf sistem pengairan sedia ada.