Doktor perubatan maut dalam kemalangan jalan raya

LABUAN: Seorang doktor perubatan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu merempuh sebuah kereta di Jalan Bukit Kalam menghala ke Jalan Sungai Bedaun, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa yang dikenali sebagai Dr. Harivin A/L Longanathan, 30, berasal dari Chemor Perak mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh petugas ambulans.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh lalu bertembung dengan sebuah kereta yang yang dipandu oleh seorang wanita tempatan.

“Siasatan mendapati mangsa telah gagal mengawal kenderaan apabila melalui satu selekoh ke kiri jalan sebelum masuk ke lorong bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.