Sabah bertuah dikunjungi Agong dan Permaisuri menerusi Kembara Kenali Borneo – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menzahirkan rasa bertuah kerajaan negeri dan rakyat Sabah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengadakan Kembara Kenali Borneo di negeri ini.

Beliau berkata, program jelajah yang sedang berlangsung itu amat bermakna kepada rakyat Sabah kerana memberi mereka peluang untuk menatap secara dekat wajah Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan keluarga baginda berdua.

Malah, katanya, ada yang berkesempatan untuk bertegur sapa dengan Seri Paduka Baginda berdua di beberapa lokasi persinggahan sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo di negeri ini.

“Keprihatinan, kemesraan dan kemuliaan hati tuanku berdua akan kekal terpahat di hati rakyat untuk selamanya,” katanya pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri sempena program Kembara Kenali Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua turut disambut Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Hajiji berkata, rakyat negeri ini amat  mengagumi kesediaan dan kesanggupan Seri Paduka Baginda berdua menyelusuri dan memandu sendiri sepanjang jalan dari Tawau hingga ke Kota Kinabalu sejak Ahad lalu hingga hari ini, sebelum meneruskan kembara ke Sipitang dan Sarawak, esok.

Pada majlis itu, Hajiji turut mengambil kesempatan memaklumkan kepada Seri Paduka Baginda berhubung pencapaian perdagangan negeri ini yang mencatat rekod tertinggi dalam sejarah dengan jumlah RM118.1 bilion pada 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.

“Seiring peningkatan itu, meskipun baru mengambil alih tampuk kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan negeri berupaya membawa masuk lebih RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah, di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah hingga RM7 bilion.

“Dengan prestasi ekonomi yang baik berserta hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang jelas diperkenalkan dua tahun lalu, berjaya merealisasikan usaha murni kerajaan negeri dalam membangunkan semula ekonomi Sabah,” katanya.

Katanya, Pelan Pembangunan SMJ adalah Dasar Hala Tuju Kerajaan Sabah yang selari dengan Gagasan Malaysia Madani untuk membawa perubahan dan pembangunan menyeluruh serta holistik, bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membasmi kemiskinan.

Beliau juga berikrar untuk terus menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda dan kedaulatan institusi diraja yang menjadi payung dan lambang perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia sejak sekian lama.

“Semoga Program Kembara Kenali Borneo yang bersejarah ini akan kekal terukir indah di dalam hati sanubari Seri Paduka Baginda berdua dan keluarga,” kata Hajiji.