Lambat bayar bill air meter dipotong, tetapi pencuri air dibiarkan berleluasa

KOTA KINABALU: Kegiatan ‘Penyambungan Paip Haram’ kembali bergiat aktif selepas beberapa bulan lalu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengadakan operasi pemotongan secara besar-besaran di Parlimen Sepanggar.

Penduduk Kampung Rampayan Laut Manggatal, Hasli Jumat, 45, berkata JANS hanya bekerja secara ala kadar menyebabkan kegiatan ini kembali beroperasi seperti sedia kala.

Katanya, jika pemantauan lebih kerap dilakukan sudah tentu kegiatan penyambungan haram tidak akan membuat penyambungan semula.

Beliau berkata Jabatan Air perlu pantau operasi pemantauan ini. Cuba ikut paip yang disambung kita akan tahu mana rumah yang terlibat.

“Jika hanya tindakan memotong paip serta tidak memantau secara lebih drastik inilah menyebabkan kegiatan penyambungan haram kembali beroperasi semula.

“Mana tindakan penguatkuasaan daripada Jabatan Air….Sudah terang mereka melakukan kesalahan besar tetapi tindakan tidak diambil,” katanya kepada Sabah News Today di sini hari ini.

Hasli berkata, beliau sangat kecewa apabila jabatan air cepat bertindak jika pengguna gagal menjelaskan bill bulanan mereka.

“Tetapi yang sudah terang depan mata seolah-olah dibiarkan begitu sahaja. Kami bayar bill, mereka (pencuri air) free sejak sekian lama.

“Adilkah kepada kami penduduk tempatan yang menanggung beban bayar bill bulan, namun air kadang-kadang tidak ada,” kata Hasli.