JEMPOL (Negeri Sembilan): Warga Felda akan sentiasa menikmati pelbagai manfaat apabila memilih kerajaan yang dapat membela nasib mereka seperti yang dilakukan ketika dibawah Barisan Nasional (BN) dan kini diteruskan Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ia terbukti dengan pelbagai inisiatif yang digerakkan saban tahun bagi meningkatkan taraf hidup peneroka Felda sejak BN menerajui pemerintahan negara dan misi ini diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Justeru itu, penting bagi warga Felda memilih sebuah kerajaan yang terbukti membela nasib mereka dan memberi perhatian terhadap masa depan dan kehendak warga Felda seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.
“Ini merupakan hubungan tiga hala sebenarnya iaitu antara peneroka, Felda dan kerajaan yang mesti seiring kerana potensi yang besar dan harus diperjuangkan adalah rakyat,” katanya ketika ditemui pada program Ceramah di Pusat Daerah Mengundi Felda Palong 2 di Padang Jelabu dekat sini semalam.
Hadir sama, Ketua Bahagian UMNO Labuan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Adam.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN ) N7 Jeram Padang menyaksikan persaingan penjuru antara Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN) dan Surash Sreenivasan (PN-BERSATU).
Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO warga Felda seharusnya rasa bersyukur kerana apa yang diperjuangkan oleh Kerajaan sebelum ini telah mereka nikmati.
Katanya ini termasuklah pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang lebih baik bagi memastikan kesejahteraan penduduk yang mendiami kawasan Felda di negara ini.
Bung Moktar menambah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mengumumkan beberapa inisiatif dan insentif bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta memelihara kebajikan warga Felda.
Insentif itu antara lain meliputi aspek penyediaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.
Beliau berkata tanggungjawab membantu warga Felda mampu dilaksanakan dengan lebih baik sekiranya kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dapat bergerak sehaluan.
“Justeru amat penting bagi warga Felda menyokong calon-calon dari Kerajaan Perpaduan pada PRN kali ini bagi mempastikan segala perancangan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan kawasan-kawasan Felda berjalan lancar.
“Kerajaan Pusat sudah ditentukan, itu tak boleh kita ubah sekarang, jadi kita mahukan kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan Pusat. Ini amat penting bagi membantu seluruh warga Felda itu sendiri,” kata Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Pimpinan UMNO Sabah.