Persidangan DUN Sabah: Dua kapal tenaga janakuasa terapung tambah bekalan elektrik mulai akhir tahun ini

KOTA KINABALU: Dua kapal tenaga atau janakuasa terapung yang akan ditempatkan di pantai timur Sabah bakal digunakan untuk menambah bekalan tenaga elektrik di Sabah bermula akhir tahun ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata janakuasa menjana sehingga 224 megawatt (MW) tenaga yang akan disalurkan dalam sistem grid Sabah.

Katanya, pendekatan itu adalah langkah segera bagi meningkatkan rizab janaan tenaga elektrik di Sabah ke tahap yang lebih kukuh iaitu 30 peratus melalui Fasa Penyelesaian Segera (2023 – 2025).

Beliau berkata dalam erti kata lain, simpanan penjanaan perlu mempunyai lebihan 30 peratus (sekitar 300 MW) berbanding beban maksima grid Sabah yang kini mencecah hampir 1,100 MW.

“Untuk tujuan ini, beberapa projek segera diputuskan termasuk projek penyewaan ‘powership’ (kapal tenaga) berkapasiti 224 MW yang akan beroperasi di pantai timur Sabah pada penghujung tahun ini.

“Selain itu, pelbagai tindakan mitigasi yang lain juga sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kebolehharapan loji jana kuasa sedia ada,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Daud Yusof (WARISAN – Bongawan) mengenai hala tuju penambahan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah berbanding permintaan pengguna.

Nizam berkata, penyelesaian segera itu adalah antara strategi perancangan dalam Pelan Pembangunan Penjanaan tenaga di Sabah yang diputuskan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.

Katanya, penyewaan kapal tenaga terbabit adalah penyelesaian terpantas untuk membolehkan penambahan kapasiti penjanaan sebanyak 200 MW memandangkan set penjanakuasa di atas kapal sudah tersedia dan boleh dipasang di mana-mana lokasi dengan pantas tanpa keperluan tapak.

“Kapal itu dimiliki syarikat Karpowership Global DMCC dari Turkiye selaku pengendali dan satu-satunya pembina loji janakuasa terapung di dunia yang ketika ini mengendalikan 36 kapal tenaga dengan kapasiti terpasang lebih 6,000 MW di 15 negara,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam berkata fasa seterusnya ialah Penyelesaian Jangka Sederhana (2026 – 2030) yang membabitkan penambahan kapasiti penjanaan kira-kira 400 MW tenaga daripada sumber hidro dan projek solar berskala besar (100 MW).

Katanya, terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt (kV) iaitu penyiapan talian penghantaran sambung tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link menghubungkan Sipitang dengan Tawau.

“Ini akan mengukuhkan kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya pengguna industri pada masa akan datang,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata iaitu Fasa Penyelesaian Jangka Panjang (Selepas 2030) tertumpu kepada usaha meningkatkan potensi hidro elektrik di Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Pada masa sama, katanya penerokaan teknologi dan sumber penjanaan baharu juga dilaksanakan seperti geotherma, angin, hidrogen dan Battery Energy Storage System (BESS).

Jelasnya, perancangan sambung tara talian penghantaran di antara Sabah dan Kalimatan Utara juga bakal diterokai berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang akan dibuat pada tahun ini.