Kerajaan terus perkukuh sektor agromakanan di kawasan luar bandar

TENOM: Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) terus memperkukuh sektor agromakanan di Sabah melalui pelbagai inisiatif pembangunan pertanian, penternakan dan perikanan khususnya di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuk pembangunan semula kawasan padang ragut di Lagud dan Pamilaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap bagi merancakkan industri penternakan.

Beliau berkata, kerajaan turut menaik taraf status nelayan sungai sebagai nelayan darat bagi membolehkan mereka menerima pelbagai bantuan termasuk bot, enjin sangkut dan kemudahan jeti.

Menurutnya, beberapa projek naik taraf sistem pengairan sawah padi turut dilaksanakan di beberapa kampung di Melalap bagi meningkatkan pengeluaran padi dan memperkukuh keterjaminan makanan negeri.