Anwar catat sokongan tertinggi, ekonomi terus jadi kebimbangan rakyat

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencatat tahap sokongan tertinggi dalam kalangan pemimpin politik negara apabila memperoleh kadar kepuasan sebanyak 52 peratus berdasarkan tinjauan terbaharu Merdeka Center.

Kajian melibatkan 1,209 responden yang dijalankan dari 12 Mac hingga 9 April itu meletakkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, di tempat kedua dengan 50 peratus, diikuti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (36 peratus).

Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memperoleh 32 peratus, manakala Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, merekodkan 28 peratus dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, 25 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula merekodkan kadar penerimaan paling rendah iaitu 24 peratus, dengan 61 peratus responden menyatakan mereka tidak berpuas hati terhadap prestasi beliau.

Dalam aspek penilaian terhadap hala tuju negara, 47 peratus responden berpandangan Malaysia berada di landasan yang betul, manakala separuh daripada responden beranggapan negara berada di landasan yang salah.

Merdeka Center memaklumkan bahawa persepsi positif terhadap hala tuju negara menunjukkan peningkatan berbanding pertengahan tahun lalu, walaupun cabaran ekonomi terus menjadi kebimbangan utama rakyat.

Sebanyak 53 peratus daripada responden yang berpandangan negara berada di landasan salah menyatakan faktor ekonomi, termasuk kos sara hidup, keadaan ekonomi semasa dan harga bahan api sebagai sebab utama kepada penilaian tersebut.