BUDI MADANI diesel di Sabah perlu lebih fleksibel

KOTA KINABALU: Wira Warisan Sabah mahu kerajaan menambah baik pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel di Sabah supaya lebih fleksibel dan tidak membebankan rakyat.

Naib Ketua Wira Warisan Sabah, Mohd Khairuddin Daud berkata, pelaksanaan subsidi bersasar wajar diteruskan namun mekanismenya perlu mengambil kira keadaan Sabah yang mempunyai kawasan pedalaman luas, kos logistik tinggi dan penggunaan diesel lebih besar.

Beliau berkata syarat pemilikan kenderaan dan kuota asas 200 liter sebulan perlu dikaji semula bagi memastikan rakyat yang benar-benar layak tidak tercicir.

Menurutnya, kerajaan juga disaran mempermudah proses permohonan melalui rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Sabah.