SUNGAI PANJANG (Selangor): Faktor kewibawaan calon, kerjasama kukuh jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka menyumbang kepada kemenangan Datuk Mohd Imran Tamrin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu, Datuk Ismarah Madcasar berkata, Mohd Imran yang merupakan penyandang kepada kerusi DUN Sungai Panjang menjadi antara faktor kepada kemenangan nanti kerana sudah dikenali kalangan pengundi di kawasan ini.
Katanya, setakat ini tiada isu besar yang boleh dikaitkan oleh pembangkang sehingga dilihat boleh menjejaskan prestasi calon BN di DUN Sungai Panjang.
“Kita melahirkan keyakinan di sini selepas lebih sembilan hari berkempen, calon ini sangat di senangi oleh pengundi di DUN Sungai Panjang.
“Kita juga sudah serasi berkempen dengan jentera PH serta bekerja keras menjejaki pengundi antara faktor penyumbang kepada kemenangan ini nanti.
“Namun dalam masa kita tidak terlalu selesa, masih lagi meneruskan kerja di peringkat akar umbi untuk memastikan sokongan secara berterusan kekal sehingga kepada 12 Ogos nanti,” katanya di sini hari ini.
Ismarah berkata, kerjasama membabitkan jentera PH sejak bermula siri kempen pada 30 Julai lalu sangat baik, perlu diteruskan dalam baki tempoh kempen beberapa hari ini.
“Kita juga tidak akan mengambil sikap terlalu yakin sehingga menjejaskan prestasi jentera….Arahan pucuk pimpinan UMNO Sabah tetap dilaksanakan sehingga memastikan pengundi BN serta PH keluar mengundi pada 12 Ogos ini nanti,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohd. Imran memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang selepas memperoleh 10,530 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Mariam Abdul Rashid (8,446 undi) dan calon Pas Mohd. Razali Saari (6,999 undi).
Pada PRN kali ini DUN Sungai Panjang yang mempunyai 40,786 pengundi menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Mohd Imran dan Perikatan Nasional (Perikatan Nasional) Mohd Razali Saari.