Persidangan DUN Sabah: Loji Janakuasa Arang Batu tidak akan dibina di Sabah – Phoong Jin Zhe

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk membina Loji Janakuasa Arang Batu bagi menjana tenaga elektrik di Sabah, setakat ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Phoong Jin Zhe, berkata walaupun penggunaan arang batu pernah dibincangkan, ia tidak akan dilaksanakan di negeri ini.

Namun, katanya, penggunaan kaedah lain perlu dikaji bagi memastikan penjanaan tenaga elektrik di Sabah tidak terjejas.

Beliau berkata sememangnya ada banyak kaedah untuk menjana tenaga dicadangkan antaranya arang batu. Selain itu ada lagi kaedah lain yang belum disebut seperti tenaga nuklear.

“Tetapi setakat ini setelah berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah (eCos) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memang tiada cadangan membina janakuasa arang batu.

“Tapii sekarang kita sangat bergantung kepada gas asli, jadi kita perlu sama-sama fikir apa janakuasa yang paling sesuai untuk Sabah, kita juga perlu bincang mengenai tenaga boleh diperbaharui (RE),” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Luyang menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (WARISAN – Moyog).

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) berkaitan bekalan elektrik kepada sektor industri di Sabah, Phoong berkata, setakat ini keperluan masih mencukupi menampung industri sedia ada.

Beliau berkata, ia termasuk kilang kerajang tembaga berskala besar yang sedang dibangunkan syarikat dari Korea Selatan, SK Nexilis di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

“Jaminan itu boleh kita beri kepada pelabur tapi pelabur yang baharu kita perlukan loji janakuasa baharu, itu hakikatnya. Tapi untuk SK Nexilis, sebanyak 70 megawatt (MW) yang diperlukan untuk operasinya mencukupi berdasarkan perancangan SESB ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, perancangan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd (SK Nexilis) dipersetujui pada 2021 sebelum Perjanjian Bekalan Tenaga Elektrik ditandatangani dengan SESB pada 17 Julai lalu setelah diluluskan Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Perjanjian itu mengambil kira keperluan bekalan tenaga elektrik SK Nexilis secara berperingkat bermula dengan 5MW pada 2023 sebelum mencapai kehendak maksimum 70MW pada pertengahan 2024,” kata Phoong.