ALOR SETAR (Kedah): Pilih calon yang dapat mewakili suara rakyat, bukan individu hanya tahu bercakap kasar, biadap dan lawak berlebihan tanpa sebarang hala tuju yang jelas membawa kemakmuran negeri untuk kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 ogos ini bukannya pertandingan mencari pemimpin penghibur yang tular diaplikasi sosial Tik Tok dengan menggunakan bahasa yang celupar sehingga institusi raja-raja Melayu pun disentuh yang mencerminkan adab seorang pemimpin yang terlalu rendah nilainya.
“PRN kali ini kita bukan mencari dan memilih pemimpin “ Rajak Lawak” yang hanya popular di media sosial ,Tik Tok dan sebagainya tetapi PRN kali ini kita memilih pemimpin dan Kerajaan yang boleh membawa pembangunan dan kemajuan untuk kepentingan rakyat,” katanya pada Siri Jelajah dan Ceramah di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kedah, semalam.
Antaranya di PDM Taman Bemban DUN Kupang, PDM Sungai Buluh DUN Bandar Baru Kulim dan PDM Dun Kuala Ketil Baling.
Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya BN Kedah Datuk Wira Osman Aziz, Ketua Bahagian UMNO Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Ketua Bahagian UMNO Parit Buntar Datuk Seri Nizar Zakariah dan Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin.
Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ,PRN kali ini rakyat seharusnya meletakkan niat dan tekad untuk mencari seorang pemimpin yang berwawasan, berkerja keras memajukan negeri, membawa pelabur dan memajukan ekonomi negeri.
Katanya ia penting agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan sekali gus meningakan taraf siso ekonomi rakyat.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata , kesungguhan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk menang di negeri ‘Jelapang Padi’ bertujuan menjaga kebajikan rakyat.
“Kedah perlu dipimpin kerajaan yang seragam dan serasi dengan (kerajaan) Pusat supaya memudahkan pelaksanaan segala projek dirancang kerana sesetengahnya perlu sokongan kerajaan Pusat.
“Jadi, undilah wakil rakyat yang boleh membina dan memelihara dengan baik jambatan dengan Kerajaan Persekutuan, jangan sesekali memberi ruang kepada individu yang mewakili parti yang tidak sehaluan,” kata Bung Moktar.