Persidangan DUN Sabah: 141 projek bernilai RM1.63 bilion diterima JKR Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah setakat ini menerima sebanyak 141 projek bernilai sehingga RM50 juta menerusi penurunan kuasa pelaksanaan kepada Kerajaan Negeri sejak awal tahun ini.

Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Limus Jury, berkata jumlah itu membabitkan projek di pelbagai kementerian dengan kos keseluruhan lebih RM1.63 bilion.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 61 projek dengan kos RM8.967 juta mendapat pengecualian ke atas AP182 kepada semua kementerian atau agensi pelaksana.

Beliau berkata, ia membabitkan semua peringkat termasuk negeri dan daerah dengan had nilai projek sehingga RM1 juta bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil.

“Sebanyak enam projek dengan kos RM74.825 juta pula diberikan pengecualian berdasarkan permohonan yang dibuat oleh agensi pemilik,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS – Sindumin) berkaitan jumlah projek Kerajaan Persekutuan bernilai sehingga RM50 juta diagihkan kepada JKR negeri setakat ini.

Ia susulan kelulusan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal tahun ini kepada kerajaan negeri untuk menguruskan projek bernilai sehingga RM50 juta.

Limus berkata, berikutan itu jumlah akhir projek yang dilaksanakan JKR Sabah ialah 74 dengan kos projek RM1.55 bilion.

“Daripada 74 projek ini, sebanyak 35 projek dijangka ditender pada tahun ini, manakala 39 projek pada 2024. Pada 2023, status pelaksanaan adalah di peringkat kerja awalan,” katanya.