Wakil rakyat Sabah digesa agresif main peranan tingkatkan pendaftaran vaksin

KOTA KINABALU : Semua wakil rakyat di Sabah digesa memainkan peranan lebih agresif bagi mempercepat serta meningkatkan proses pendaftaran vaksinasi COVID-19 dalam kalangan rakyat di kawasan masing-masing, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Hajiji dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu perlu bagi memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendaftar sebagai penerima vaksin sebagai usaha mencapai sasaran ditetapkan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Setakat ini sebanyak 29.2 peratus atau 804,851 individu telah mendaftar untuk menerima vaksin dengan 12,349 daripadanya adalah pendaftaran direkodkan semalam.

“Selain Pemimpin Pembangunan Masyarakat, saya juga menggesa semua wakil rakyat untuk terus menangani dan berusaha mempercepat proses pendaftaran vaksin di kawasan masing-masing. Badan Bukan Kerajaan di Sabah juga perlu meluangkan masa dan usaha membantu dalam proses ini.

Semua pihak harus bersatu memerangi penularan COVID-19 dan paling penting (semua rakyat) mendapat vaksin secepat mungkin…kita harap akan capai sasaran 30,000 orang diberi vaksin setiap hari mulai Julai sekali gus melebihi jumlah harian dicatat sekarang ini iaitu 13,000 orang,” katanya.

Hajiji berkata pendaftaran secara manual di Sabah juga perlu dipertingkatkan terutama di kawasan tidak mempunyai jaringan internet efisien bagi membantu kelancaran program khidmat masyarakat bergerak vaksinasi COVID-19.

Beliau berkata jumlah individu menerima suntikan vaksin dos pertama di bawah fasa pertama dan kedua program imunisasi di Sabah semakin menunjukkan peningkatan dengan seramai 333,983 orang setakat ini termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia.

— BERNAMA