LAHAD DATU: Polis Marin Lahad Datu telah berjaya merampas rokok pelbagai jenama bernilai RM121,938.96 dalam satu operasi Op Benteng Covid di kawasan bakau di sini hari ini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu, Supt Gan Ping Sin berkata bertindak atas maklumat orang awam, pada jam lebih kurang 6.30 pagi hari ini, Polis Marin Lahad Datu membuat pemeriksaan di kawasan bakau dan menjumpai sebuah pondok kecil tidak berpenghuni dalam keadaan yang mencurigakan.
Katanya hasil pemeriksaan lanjut dalam pondok tersebut polis menemui rokok pelbagai jenama yang disembunyikan didalam beg plastik berwarna hitam yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran.
“Kesemua barang rampasan tersebut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya.
Supt Gan Ping berkata, pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah amat mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui aplikasi whatsapp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung terus ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu di talian 013-9808084 agar tindakan dapat diambil,” katanya.
SabahNewsToday