KOTA KINABALU: Usaha kerajaan negeri mengatasi masalah bekalan air masih tidak memadai dan perlu dipertingkatkan agar tidak menjejaskan sektor kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan ekonomi negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau melihat perkara ini perlu ditangani lebih berkesan oleh kerajaan negeri supaya ia dapat dihentikan dan tidak lagi berhadapan lagi krisis ini pada masa hadapan.
“Masalah ini telah kita warisi berpuluh tahun. Saya ketika di cabinet negeri mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk satu tindakan diambil, kalau tidak sudah tentu ia akan mengakibatkan musibah besar yang kita hadapi.
“Kerajaan negeri cuba juga melakukan tindakan untuk menangani masalah ini tetapi tidak memadai sehingga kita lihat masalah bekalan air ini terus berlaku hingga menjejaskan operasi hospital, lapangan terbang, restoran ditutup,” katanya kepada Sabah News Today.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah berkata pada masa sama, masalah bekalan air ini sudah tentu menjejaskan usaha kerajaan negeri menarik pelabur.
“Jadi ini kita tidak perlu cakap soal pelabur…untuk kegunaan seharian pun tidak ada,” katanya.
Justeru, beliau mahu pemberian geran khas RM300 juta yang akan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada tahun ini diperbincangkan sebaik mungkin yang membabitkan kepentingan negeri dan persekutuan.
“Ia perundingan pemimpin antara pemimpin dan saya rasa menjadi keperluan oleh kedua-dua pihak untuk mengatasi masalah dihadapi rakyat Sabah khususnya membabitkan bekalan air, elektrik dan jalan raya,” kata Bung Moktar.