Pemuda UMNO perlu main peranan efektif dekati pengundi muda – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO perlu memainkan peranan penting dan efektif bagi mendekati pengundi muda dalam usaha mengukuhkan lagi parti itu, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Menurutnya ini perlu kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, sokongan pengundi muda terhadap BN/UMNO masih kurang memberansangkan.

Justeru, katanya, pendekatan yang lebih berkesan mendekati golongan ini perlu dilakukan agar sokongan mereka memihak kepada UMNO pada PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Pemuda UMNO perlu memahami dan menyelami citarasa golongan pengundi ini ke arah mana minat mereka antaranya aktiviiti sukan, kesenian,riadah ,kebajikan dan tidak kurang penting ialah pendedahan ilmu kemahiran kepada belia yang masih menggangur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya ketika menerima kunjungan hormat dan sesi suai kenal Pergerakan Pemuda UMNO Sabah di sini, kelmarin.

Hadir sama Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin,  Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Azhier Farhan, Penolong Setiausaha UMNO Sabah Alfian Sambas dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah Sufian Abd Karim

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Sabah turut menyentuh pentingnya Pergerakan Pemuda UMNO menguasai media baru yang kini dijadikan landasan untuk berpolitik.

Katanya Pergerakan Pemuda UMNO perlu lebih agresif menangkis serangan dan tohmahan bertali arus oleh ”keyboard warrior” terhadap parti itu di media sosial, serta menarik penyertaan lebih ramai golongan muda,

Beliau berkata ini penting bagi mengelak generasi muda mempercayai gambaran negatif serta maklumat tidak sahih disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan mereka berisiko menjauhi UMNO.

“Jentera media sosial UMNO melibatkan penggunaan medium seperti Facebook, Twitter Tik Tok dan Instagram perlu diperkasakan lagi dengan menyalurkan fakta jelas bagi memudahkan pemahaman generasi Y berhubung pelbagai isu termasuk fitnah politik yang sering ditimbulkan pihak tertentu untuk menjatuhkan parti,” kata Bung Moktar.