Buruh Ladang Maut Kesan Tikaman Tombak Sawit

TAWAU: Seorang buruh ladang ditemukan maut dengan kesan tikaman dipercayai menggunakan sebatang tombak dalam kejadian di sebuah ladang di kawasan Merotai, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa lelaki warga asing berumur 33 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan tiga kesan tikaman pada badan selain satu pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.27 tengah hari dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalan siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian polis berjaya menemukan sebatang tombak dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan.

“Susulan itu, polis kemudiannya berjaya membuat tangkapan keatas tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan di kawasan pusat bandar, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

“Salah seorang suspek lelaki berumur 53 tahun ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala tiga yang lain dibebaskan,” katanya di sini hari ini.

Jasmin berkata, pihak masih  menyiasat motif sebenar kejadian pembunuhan itu.