Tindakan pantas selesai kes bunuh di Tawau

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki sekali gus berjaya menyelesaikan kes bunuh membabitkan seorang buruh ladang dalam tempoh kurang 24 jam di bandar Tawau, kelmarin.

Hasil dari maklumat dan risikan, suspek seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun itu ditahan sepasukan anggota Polis dari Balai Polis Bombalai yang diketuai oleh Ketua Polis Balai di kawasan bandar Tawau, pada jam 11.33 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sebelum itu Polis telah menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki disyaki dibunuh di Ladang kawasan Merotai pada jam 12.27 tengahari.

Jelas beliau, pemeriksaan polis mendapati mangsa yang merupakan pekerja buruh ladang disyaki ditikam beberapa kali dengan menggunakan senjata tajam.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian ini” katanya dalam satu kenyataan media di IPD Tawau, petang tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Masyarakat digesa melaporkan sebarang kejadian jenayah mahupun dadah di saluran medium laman facebook IPD Tawau atau menerusi talian 089-772121 atau laporkan kepada balai polis yang berhampiran.